Sabtu, 7 Mac 2009

PENUTUP KARANGAN

Sesetengah pelajar mengabaikan komponen penutup dalam sesebuah karangan kerana andaian bahawa bahagian ini kurang penting. Tanpa penutup sesebuah karangan akan dianggap tergantung. Penutup merupakan penegasan kepada isi yang telah dihuraikan dalam bahagian pengembangan isi. Sama ada sesebuah karangan itu merupakan jenis fakta ataupun jenis cerita seharusnya disudahi dengan penutup yang tepat dan jelas dengan huraian yang ditulis sebelum itu.

.

Aspek penting dalam penutup

1. Pelajar perlu mengemukakan rumusan pendapat, pandangan ataupun saranan tentang keseluruhan isi karangan yang

telah dibincangkan. Teliti perkara-perkara yang perlu ada dalam perenggan penutup seperti di bawah.

2. Mulakan ayat dalam bahagian kesimpulan dengan menggunakan frasa seperti berikut :

Ayat / Frasa memulakan penutup.

· Kesimpulannya

· Sebagai kesimpulan, dapatlah dikatakan bahawa ….

· Berdasarkan keterangan-keterangan tersebut, jelaslah bahawa …..

· Ringkasnya, jelaslah bahawa ….

· Kenyataan-kenyataan tersebut menunjukkan bahawa….

· Natijahnya, jelaslah bahawa …

3. Penutup dalam penulisan karangan yang berformat perlu disudahi dengan penutup mengikut format yang telah

ditentukan dalam karangan berkenaan.

Ayat / Frasa memulakan penutup berformat

· Sekian, terima kasih.

· Saya sudahi syarahan saya dengan serangkap pantun,

Kalau ada sumur diladang,

Boleh saya menumpang mandi,

Kalau ada umur yang panjang,

Boleh kita berjumpa lagi.

4. Penutup dalam karangan jenis cerita ialah kesudahan kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bahagian isi

cerita. Pastikan penutup dalam karangan jenis cerita sejajar dengan kehendak soalan. Umpamanya, jika soalan

berkehendakkan “menceritakan cara memulihkan rakan yang pengsan” , pastikan pada penghujung cerita rakan yang

dipulihkan itu sedar daripada pengsan. Jangan biarkan penghujung cerita tergantung.

5. Pastikan perenggan penutup ditulis dalam satu perenggan sahaja.

Aspek penting bahagian penutup karangan jenis fakta

Penutup dalam karangan jenis fakta merupakan rumusan menyeluruh yang dapat disimpulkan dalam satu perenggan ringkas, tepat dan padat. Ringkasnya perenggan penutup karangan jenis cerita biasanya mengandungi perkara-perkara berikut :

Nombor ayat

Kandungan ayat

Ayat 1

Rumusan ataupun kesimpulan menyeluruh tentang perbincangan isi.

Ayat 2

Menyatakan cadangan atau saranan yang sesuai

Ayat 3

Menyatakan harapan tentang isu yang dibincangkan

Ayat 4

Menyatakan pendirian tentang pokok persoalan yang dikemukakan

Contoh-contoh penutup karangan jenis fakta

Soalan : Gejala lepak dalam kalangan remaja berpunca daripada kurangnya pengawasan daripada ibu bapa. Berikan pendapat anda.

(A1) Ringkasnya kekurangan pengawasan dan sikap tidak prihatin ibu bapa terhadap aktiviti dan

perlakuan anak-anak mereka menjadi penyebab gejala ini kian merebak.

(A2) Dengan demikian, ibu bapa perlu sentiasa mengambil berat dan mengawasi setiap pergerakan

anak-anak mereka yang mencurigakan.

(A3) Sekiranya semua ibu bapa mengambil pendekatan sedemikian, gejala ini akan dapat diatasi

dengan mudah.

(A4) Jelaslah, ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam menangani kegiatan tidak

berfaedah anak-anak dan tidak boleh hanya mengharapkan pihak lain sahaja.

Aspek penting bahagian penutup karangan jenis cerita

Perenggan penutup dalam karangan jenis cerita merupakan peleraian kepada cerita yang disampaikan. Bahagian penutup tidak mengandungi isi, sebaliknya merupakan kesudahan cerita. JANGAN meleret kepada perkara-perkara lain yang dapat menjejaskan kesudahan cerita. JANGAN timbulkan unsur suspens: Ingat! Anda bukan menulis skrip drama atau filem yang kadang kala mengandungi unsur suspens dalam peleraian cerita dengan harapan penonton berfikir sendiri. Terus sahaja kepada kesudahan cerita.

Ringkasnya perenggan penutup karangan jenis cerita biasanya mengandungi perkara-perkara berikut :

Nombor ayat

Kandungan ayat

Ayat 1

Peleraian cerita ataupun kesudahan cerita

Ayat 2

Pengajaran daripada cerita ataupun pengalaman yang dilalui

Ayat 3

Huraian ringkas pengalaman yang diperoleh

Ayat 4

Harapan daripada cerita yang ditulis

Perkara dalam penutup yang dicadangkan di atas tidak semestinya disusun mengikut urutan, boleh juga didahulukan mana-mana perkara yang difikirkan sesuai.

Contoh-contoh penutup karangan jenis cerita

Soalan : Anda dan keluarga anda telah terlibat dalam pemindahan mangsa banjir dalam kejadian banjir besar yang melanda kampung anda. Ceritakan pengalaman anda semasa berada di pusat pemindahan banjir selama beberaqpa hari.

Perenggan lengkap :

Setelah berada di pusat pemindahan banjir itu selama beberapa hari, akhirnya hujan pun teduh dan banjir pun mula surut Kami pulang ke rumah masing-masing dan berdepan dengan kerja-kerja membersihkan segala kekotoran yang diting­galkan akibat banjir. Selama berada di pusat pemindahan banjir itu, kami beroleh pengalaman yang amat berharga. Kami berharap agar kami tidak akan terlibat lagi dalam kejadian seumpama ini pada masa depan.

Soalan latihan Pengukuhan :

Tulis perenggan penutup karangan yang lengkap berdasarkan soalan di bawah.

Setiap bulan sekolah anda mengadakan pertandingan kelas terbersih sebagai suatu cara mewujudkan keindahan dan keceriaan kelas. Sebagai ketua kelas, ceritakan tindakan yang telah anda dan rakan-­rakan anda lakukan untuk menceriakan kelas anda.

Penutup karangan cerita berdasarkan peribahasa

Penutup dalam karangan cerita berdasarkan peribahasa agak berbeza dengan karangan jenis cerita berdasarkan pengalaman ataupun gambaran peristiwa. Penutup dalam karangan bentuk ini memerlukan pelajar membuat peleraian cerita dan menyatakan pengajaran yang diperoleh daripada cerita yang disampaikan. Hal ini demikian kerana karangan cerita berdasarkan peribahasa merupakan karangan yang dapat memberikan pengajaran kepada pembaca.

Nombor ayat

Kandungan ayat

Ayat 1

Peleraian cerita

Ayat 2

Ulasan peleraian / kesudahan cerita

Ayat 3

Pengajaran yang diperoleh daripada kisah yang berlaku

Ayat 4

Penegasan dan kaitan cerita dengan peribahasa

Perkara dalam penutup yang dicadangkan di atas tidak semestinya disusun mengikut urutan, boleh juga didahulukan mana-mana perkara yang difikirkan sesuai.

Contoh-contoh penutup karangan jenis cerita peribahasa

Soalan : Salah satu peribahasa Melayu yang selalu disebut ialah “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”. Tulis sebuah cerita berdasarkan peribahasa tersebut.

Perenggan lengkap :

Semenjak hari itu, Razak tidak berani lagi melawan cakap ibunya. Dia berasa begitu insaf dengan peristiwa yang berlaku kepada rakannya yang mati lemas di lombong lama itu akibat tidak mendengar nasihat ibunya. Razak amat menyesal kerana tidak mendengar nasihat ibunya yang menegahnya daripada menghampiri lombong lama itu. Namun segala-galanya telah berlaku, tragedi yang berlaku kepada rakannya itu bertepatan dengan peribahasa “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.

Peringatan : Bahagian ini merupakan pelengkap kepada sesebuah karangan. Pelajar tidak seharusnya mengabaikan bahagian ini dan mengang­gapnya tidak menjejaskan karangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan