Isnin, 9 Mac 2009

KOSA KATA

MENGAJAR, MENGAJARI, MENGAJARKAN

Mengajar

menyampaikan ilmu pengetahuan (kemahiran) kepada orang lain, mendidik, melatih, memberikan petunjuk-petunjuk

Contoh:

· Mengajar orang menggunakan senjata.

· Ia mengajar anaknya supaya jangan nakal.

· Musim kemarau ini akan mengajar kita supaya tidak menggunakan air dengan membazir.

· Kesulitan hidup mengajar orang lebih berusaha.

mengajari

mengajar seseorang (sesuatu ilmu pengetahuan, kemahiran),

melatih seseorang :

Contoh:

· Cikgu Ramli yang mengajari murid-murid tingkatan 3 Bahasa Melayu dan Sejarah

mengajarkan

mengajar sesuatu (kepada seseorang),

memberi sesuatu pelajaran (ilmu pengetahuan, kemahiran, ...):

Contoh:

· Siapa mengajarkan hitungan yang sesulit ini.

· Ia mengajarkan cara-cara mengendalikan mesin tersebut kepada pekerja-pekerja baru.

· Guru yang mengajarkan sesuatu mata pelajaran.

BANYAK DAN RAMAI

banyak

bukan sedikit, tidak sedikit.

· Banyak orang yang mempunyai cita-cita tinggi.

bilangan, jumlah

· Berapa banyak wang yang kauterima?

ramai

riuh-rendah, hiruk-pikuk (bunyi, suara);

sangat gembira, sangat meriah, riang gembira;

banyak (orang), orang banyak, umum;

Contoh:

· ramai orang berkumpul;

· di muka ramai;

· khalayak ramai;

· kegemaran ramai;

· kemahuan ramai.

BARU dan BAHARU

baru

1. belum (tidak) ada sebelumnya, (yg) belum lama wujud (dikeluarkan, diterbitkan, dsb): negara-negara ~; kereta jenis ~;majalah ~;

2. belum pernah atau belum lama dilaksanakan (dicuba, digunakan, dsb): cara-cara ~;

3. belum dipakai lagi atau belum lama dipakai: basikal ~; kasut ~;

4. belum lama lagi menjadi atau berlaku (bekerja, bertindak, dll) sbg: murid ~; ketua~;

5. masih segar (belum lama dipetik, ditangkap, dsb): ikan ~;

6. moden: angkatan ~;

7. belum berapa lama lagi (dahulu): saya ~ datang;

8. apabila saja, sesudah: ~ digertak dia sudah lari;

9. pd masa itulah, pd ketika tertentu (berikutan dgn sesuatu dll): selepas

saya jelaskan ~ dia sedar;

10. kelihatan masih cantik atau tidak terjejas dsb (kerana belum sering digunakan, terpelihara dgn baik, dll);

baru-baru; ~ ini tidak lama dahulu, tidak berapa lama sebelum ini: kita menyokong perbahasan itu dlm Perhimpunan Agung UMNO ~ ini;

membarukan menjadikan baru, membetulkan sesuatu supaya spt

baru: hasratnya utk ~ gaya itu sendiri.

baharu baru; membaharui

1. membaiki (melakukan sesuatu, mengubah, dll) supaya sesuatu itu menjadi baharu: jalan itu sudah dibaharui;

2. mengulangi lagi: dia tidak ~ pertanyaannya;

3. memulakan sesuatu semula: rakyat membuka kampung utk ~ hidup masing-masing;

4. menggantikan atau menukarkan (sesuatu) dgn yg baru atau yg empunyai tempoh kuat kuasa dsb yg baru: pokok ini tidak payah ~ daunnya; ~ lesen memandu;

memperbaharu menjadikan sesuatu lebih baharu;

kebaharuan sifat-sifat baru, anasir-anasir baru: satu contoh ~nya ialah bahawa ia ada memuatkan petikan-petikan drpd karangan-karangan bahasa Melayu-Indonesia;

pembaharuan perihal (perbuatan dll) membaharui: mereka ini hendak membawa satu ~ dlm agama Islam; mereka hanya cenderung kpd isi sehingga yg dimaksudkan oleh mereka sbg ~ ialah ~ isi belaka;

pembaharu orang yg membawa pembaharuan: A. Latiff Mohidin merupakan ~ dlm perpuisian Melayu.

IALAH DAN ADALAH

ialah

Hadir di hadapan frasa nama

Contoh:

· Jumlah kematian yang disahkan ialah dua puluh lima orang.

· Gadis yang memakai baju kebaya itu ialah anak saudara saya.

· Warna pinang masak ialah warna rasmi bas sekolah seluruh negara kita.

adalah

hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama

Contoh:

· Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan. (FA)

· Kenyataan daripada menteri itu adalah sangat penting. (FA)

· Hadiah itu adalah untuk murid terpandai. (FS)

· Arahan itu adalah daripada pengetua sekolah. (FS)

DARI DAN DARIPADA

dari

Sendi kata yang menerangkan atau menyatakan tempat mula bergerak (bertolak, muncul, jatuh):

Contoh:

· Saya berlepas dari Ipoh pagi tadi.

· Dari mana hendak ke mana?

· Dia terjun dari tingkat lima bangunan itu.

Sendi kata yang menerangkan atau menyatakan permulaan sesuatu jangka waktu.

Contoh:

· Dari sekarang kita tidak boleh main-main lagi.

· Dari kecil lagi.

· Dari sehari ke sehari.

· Dari dahulu hingga sekarang.

Sendi kata yang menyatakan (menunjukkan) titik permulaan sesuatu jarak yang diukur.

Contoh:

· Kampung itu terletak kira-kira dua puluh kilometer dari bandar.

Sendi kata yang menerangkan (menyatakan) titik atau pusat tumpuan permulaan sesuatu kegiatan (pergerakan).

Contoh:

· Pasukan itu melancarkan serangan dari kawasan pergunungan.

· Usaha membina pengetahuan tentang bahasa perlu dimulakan dari peringkat sekolah rendah lagi.

Sendi nama yang menyatakan (menunjukkan) tempat asal seseorang (sesuatu barang).

Contoh:

· Dia berasal dari Medan.

· Surat dari London.

· Dia mengangkat air dari perigi ke dapur.

daripada

Sendi kata yang menyatakan atau menunjukkan orang yang memberi (mengirim).

Contoh:

· Dia menerima sepucuk surat daripada ayahnya.

· Hadiah daripada seorang sahabat yang karib.

Sendi kata yang menyatakan (menunjukkan) sumber atau punca sesuatu itu diperoleh.

Contoh:

· Petikan daripada karya Usman Awang.

· Air daripada telaga itu berkuman.

· Diterjemahkan daripada bahasa Arab.

Sendi nama yang menyatakan (menunjukkan) bahan yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu.

Contoh:

· Jambangan bunga itu diperbuat daripada tembikar.

· Barang-barang daripada getah.

Sendi kata yang menyatakan atau menunjukkan orang (negara, unsur, barang) yang terlibat dalam sesuatu pengasingan (pemisahan, perbezaan, perbandingan).

Contoh:

· Selat Melaka memisahkan Semenanjung Malaysia daripada Sumatera.

· Reka bentuk yang dikemukakan terkemudian ini lebih menarik daripada yang disediakan dahulu.

Sendi kata yang digunakan sewaktu menyatakan sesuatu perubahan (perkembangan).

Contoh:

· Harga daging telah naik daripada RM8.00 sekilo menjadi RM9.50 sekilo.

· Bilangan pelajar yang lulus merosot daripada 68% tahun lalu menjadi 66% tahun ini.

Sendi kata yang digunakan sebelum menyatakan atau menyebutkan unsur (akibat) yang hendak dielakkan (dicegah, dihindar).

Contoh:

· Mempertahankan diri daripada serangan musuh.

· Menjauhkan diri daripada bahaya.

· Langkah-langkah untuk mengelakkan hal-hal demikian daripada berlaku lagi.

Sendi kata yang menyatakan (menunjukkan) punca atau asas sesuatu tindakan (kesimpulan).

Contoh:

· Daripada apa yang saya dengar, pemandu lori itu yang patut dipersalahkan.

· Masjid itu dibina daripada desakan penduduk di kawasan itu.

Sendi kata yang memperkaitkan atau memperhubungkan sesuatu atau sesuatu bahagian dengan sesuatu keseluruhan atau jumlah.

Contoh:

· Satu daripada sebab-sebab

· Hanya tiga orang daripada sejumlah 40 orang pelajar telah gagal dalam peperiksaan itu.

RASA

merasa-rasa

mencuba dengan lidah untuk mengetahui manis masam (pahit tidaknya):

Contoh:

· Ia merasa-rasa gula itu.

· Dua tiga orang sudah pun sampai dan merasa-rasa air kopi itu.

meraba-raba (menjamah) untuk mengetahui kasar halusnya (berat tidaknya):

Contoh:

· licin tidaknya dapat dirasa sendiri dengan tangan

merasai

mengecap (makanan, minuman), mencicip:

Contoh:

· Alangkah puas hatinya merasai makanan masakan ibunya.

· Rasai dulu kopi itu sebelum dihidangkan.

menikmati (kesenangan, kemewahan, kebahagiaan):

· Kesenangan dan kemewahan hidup yang dirasainya itu ialah daripada harta isterinya.

· Belum pernah ia merasai hidup senang spt orang-orang lain.

menderita (kesusahan, sengsara):

· Barulah hamba merasai sengsara hidup di dalam penjara

· Mereka akan merasai duka nestapa yang tidak terkira-kira lagi

· Rasai olehmu balasan kekasaran tingkahmu

merasa-rasai

meraba-rabai (menjamah-jamah) hendak mengetahui dengan tangan:

Contoh:

· Rasa-rasai dahulu dengan kakimu sama ada dalam atau tidak sungai itu.

menduga (mengajuk, mengkaji, meninjau) hati orang:

Contoh:

· Daripada air mukanya, kita dapat merasa-rasai apa yang terkandung dalam hati perutnya.

· Syor-syornya itu harus dirasa-rasai dulu sebelum dibuat keputusan

mengalami rasa dalam hati (batin):

Contoh:

· Dirasainya cintanya pada wanita itu kian lumpuh.

menyedari, menginsafi:

Contoh:

· Duduk di Mesir kira-kira tiga bulan lamanya itu pun tiada dirasai oleh Laksamana.

merasakan = memperasakan

membiarkan (menjadikan, menyuruh) berasa atau merasai:

Contoh:

· Ia mencuba sungguh-sungguh untuk memperasakan fahamnya kepada seluruh pendengarnya.

merasai, menginsafi, memikirkan, mengendahkan:

Contoh:

· Beliau masih dirasakan penting untuk memimpin Jabatan itu.

· Untuk memberikan nilai kepada sesuatu keindahan, seseorang mestilah Faham dan dapat merasakan keindahan itu.

· Dan dirasakannya sekali bahawa tugasnya untuk menjaga dirinya sudah semakin bertambah.

merasai, menderita:

Contoh:

· Saya rasakan benar-benar kemesraan perhubungan kami.

· Air matanya berderai menahan pedih yang dirasakannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan